SALUTASI
1. YB Seema Malhotra
Menteri bagi Indo-Pasifik dan Menteri bagi Kesamarataan Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan United Kingdom
2. Yang Berbahagia Dr. Kao Kim Hourn
Setiausaha Agung ASEAN
3. Yang Berbahagia Ajay Sharma
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia
4. Cik Chandu Chaudhary
Pengarah Serantau Sains & Teknologi (SEA), Suruhanjaya Tinggi British, Singapura
5. Yang Berusaha Tuan Surya Kumar A/L Subramaniam
Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
6. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Duta dan wakil-wakil asing,
Tetamu kehormat, wakil-wakil dari kementerian, agensi dan universiti,
Serta rakan-rakan media sekalian.
Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat petang kepada semua.
1. Terima kasih atas jemputan untuk bersama-sama dalam Sidang Kemuncak Inovasi AI UK-ASEAN 2025 ini.
2. Kita bertemu pada waktu hubungan antara ASEAN dan United Kingdom semakin kukuh. Pada tahun 2024, nilai dagangan mencecah £53 bilion (GBP) — hampir 10 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya — menjadikan UK sebagai pelabur keempat terbesar ASEAN.
3. Namun, kerjasama kita tidak hanya tertumpu pada perdagangan; ia turut merangkumi bidang teknologi dan inovasi.
4. Dalam hal ini, ASEAN dan UK merupakan rakan semula jadi. UK ialah peneraju global dalam bidang AI — daripada penyelidikan termaju sehinggalah kepada kelompok inovasi yang dinamik. ASEAN pula, dengan hampir 700 juta penduduk dan 460 juta pengguna digital, bukan sahaja merupakan pasaran yang luas tetapi juga pencipta penyelesaian AI, yang diterapkan secara meluas dalam sektor kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
5. Dalam kerangka kerjasama yang lebih luas ini, Malaysia dan UK telah memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Atas semangat inilah saya telah berkunjung ke United Kingdom awal tahun ini sempena London Tech Week. Dalam lawatan tersebut, kami berinteraksi dengan pembuat dasar, penyelidik serta syarikat teknologi di UK, dan turut menghubungkan 23 syarikat Malaysia dengan 80 rakan kongsi dari UK dalam bidang AI, keselamatan siber dan teknologi kewangan (fintech).
6. Sidang kemuncak hari ini meneruskan momentum tersebut, mengingatkan kita bahawa potensi sebenar AI hanya dapat direalisasikan apabila kita berinovasi bersama — secara bertanggungjawab, inklusif, dan berteraskan kepercayaan.
IMBAS KEMBALI: ASAS YANG KUKUH UNTUK INOVASI
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Dalam konteks ini, izinkan saya berkongsi strategi pertumbuhan AI Malaysia — bagaimana kami membangunkan ekosistem AI yang dinamik di negara-negara Selatan Global (Global South) yang mendorong inovasi, menarik pelaburan, dan memperkukuh relevansi di peringkat global.
8. Cerita kami bermula dengan infrastruktur. Menyedari bahawa AI merupakan tunjang masa depan digital negara, Malaysia telah membuat pelaburan awal bagi membina rangka asas yang bersedia untuk AI. Malaysia kini berada di landasan untuk menjadi hab pusat data ASEAN, dengan jangkaan menampung dua pertiga kapasiti serantau menjelang tahun 2035, disokong oleh rangkaian 5G bertaraf dunia.
9. Namun, infrastruktur yang kukuh mesti disertai dengan dasar yang boleh dipercayai. Pada tahun 2024, kami telah menggubal Akta Keselamatan Siber bagi melindungi infrastruktur kritikal, serta menambah baik Akta Perlindungan Data Peribadi agar selaras dengan piawaian global. Tahun ini pula, kami telah memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Nasional untuk memastikan masa depan awan yang selamat, berdaulat, dan lestari, di samping sedang merangka Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data bagi memperkukuh daya tahan negara.
10. Namun begitu, infrastruktur dan peraturan tidak bermakna tanpa elemen manusia. Oleh sebab itu, kami telah melabur dalam pembangunan kapasiti bagi pelbagai segmen masyarakat, termasuk:
A. Bagi orang awam, kami telah memperkenalkan Inisiatif Rakyat Digital, yang menawarkan kursus percuma dan telah melengkapkan lebih daripada 1.4 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran asas dalam bidang AI, rantaian blok (blockchain), keselamatan siber, dan pengkomputeran awan (cloud computing).
B. Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, inisiatif Premier Digital Tech Institutions (PDTI) berperanan menghubungkan universiti dengan syarikat teknologi. Sehingga kini, ia telah melahirkan 60,000 graduan berdaya saing industri dengan kadar kebolehpasaran sebanyak 95%.
C. Bagi pembuat keputusan pula, program Executive Digital Leadership yang dijalankan bersama Asia School of Business melatih eksekutif peringkat pertengahan dan kanan untuk memacu transformasi digital dalam organisasi masing-masing.
D. Ini hanyalah sebahagian contoh program dan inisiatif berfokus yang sedang kami perluas pelaksanaannya di seluruh negara. 11. Secara keseluruhannya, infrastruktur digital, peraturan, dan bakat merupakan batu asas kepada ekosistem digital Malaysia — enjin senyap yang menggerakkan inovasi yang kita nikmati setiap hari.
MELANGKAH KE HADAPAN: MEMPERCEPAT INOVASI DI BAWAH RMK-13
12. Namun, asas yang kukuh sahaja tidak memadai. Langkah seterusnya adalah mempercepat kemajuan — menjadikan AI sebagai enjin sebenar kepada daya saing negara.
13. Justeru, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, pada bulan Julai lalu, meletakkan AI sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan negara. Bagi menterjemahkan visi AI Nation ke dalam realiti, kita sedang memperkasa semula struktur tadbir urus AI dan data untuk masa depan.
14. Teras kepada usaha ini ialah Pejabat AI Negara (National AI Office – NAIO) yang ditubuhkan pada November 2024. NAIO kini sedang membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, yang akan menjadi panduan hala tuju Malaysia ke arah masa depan AI yang bertanggungjawab dan inovatif.
15. Pada masa yang sama, kami juga sedang menubuhkan Suruhanjaya Data Kebangsaan, yang akan memantau tadbir urus data di Malaysia, mewujudkan aliran data yang dipercayai serta melindungi hak-hak data rakyat.
16. Seiring dengan itu, kami memperluas penggunaan data digital kerajaan melalui Dasar Pendigitalan Data Sektor Awam, dan sedang menubuhkan Bank Data Nasional (National Data Bank) — sebuah repositori dipercayai yang mengumpulkan set data berkualiti tinggi daripada pelbagai kementerian dan sektor.
17. Kesemua inisiatif ini bersama-sama membentuk asas data yang kukuh, yang menjadi nadi kepada aspirasi AI Malaysia.
MENJENGAH KE HADAPAN: KEPIMPINAN SERANTAU & GLOBAL
18. Namun begitu, aspirasi kami tidak terhenti di sempadan Malaysia. Kami melihat peranan kami sebagai pemudah cara serantau dan rakan global yang boleh dipercayai.
19. Pada bulan Ogos yang lalu, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 di Kuala Lumpur. Acara berprestij ini menghimpunkan lebih daripada 10,000 pemegang taruh AI — merangkumi pembuat dasar serantau, penyelidik, inovator, pembangun dan rakyat — bagi bertukar pandangan, menjalin kerjasama serta membentuk perkongsian baharu.
20. Usaha kami untuk menghimpunkan pelbagai pihak tidak terhenti di situ. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sedang menerajui penubuhan Rangkaian ASEAN AI SAFE — sebuah platform untuk memajukan penyelidikan keselamatan AI, menggalakkan penerimaan AI yang bertanggungjawab, serta menyokong penyelarasan piawaian antara Negara-Negara Anggota ASEAN.
21. Pada masa yang sama, kami turut memperkukuh Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement – DEFA) — sebuah pakatan digital yang bercita-cita tinggi untuk menyeragamkan peraturan digital ASEAN, sekali gus membuka kerjasama yang lebih mendalam dalam teknologi baharu dan piawaian boleh saling guna (interoperable standards).
22. Secara keseluruhannya, semua usaha ini membawa satu naratif yang sama: Malaysia sedang membina ekosistem AI yang inovatif pada asasnya, berteraskan kepercayaan, serta terhubung dengan rantau dan dunia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23. Inovasi dan kepercayaan ibarat dua sisi pada sekeping syiling yang sama, dan visi Malaysia adalah untuk menyeimbangkan keduaduanya. 24. Itulah sebabnya perbincangan kita pada hari ini amat penting. Cabaran yang kita hadapi bukanlah tentang siapa yang tiba di garisan hadapan terlebih dahulu, tetapi bagaimana kita dapat sampai ke sana bersama — dengan penuh tanggungjawab, inklusif, dan demi kemakmuran bersama.
25. Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan United Kingdom dalam usaha bersama mereka bentuk inovasi, pelaburan, dan kepimpinan dalam era AI. Bersama-sama, kita dapat memastikan bahawa AI menjadi pemacu pertumbuhan untuk semua.
Terima kasih.
#TAMAT#